INI DIA PEMILIK PESAWAT AIRASIA - book 2


selain Tony Fernandes ada satu orang lagi yang memiliki AirAsia ini yaitu :

Dato' Kamarudin bin Meranun merupakan satu nama besar dalam bidang perniagaan dan keusahawanan di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Sebelum ini kita hanya mengenali Datuk Seri Anthony Fernandes apabila dikaitkan dengan kejayaan Air Asia. Satu bintang besar yang berdiri teguh dibelakang kejayaan luar biasa Air Asia adalah Dato' Kamarudin bin Meranun.


                Dato' Kamarudin bin Meranun dilahirkan di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Gurney. Di atas kejayaan yang cemerlang pada peringkat sekolah rendah, beliau ditawarkan ke Maktab Rendah Sains MARA, Kuantan Pahang. Selepas menamatkan persekolahan peringkat menengah, beliau meneruskan perjuangan dalam bidang Aktuari di Institut Teknologi MARA (ITM) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau berjaya menggenggam Diploma dalam  Sains Aktuari dengan jayanya. Beliau terus mengembangkan ilmu pengetahuan dengan menerima Bachelor of Science in Finance pada tahun 1986. Kemuncaknya dalam pencarian ilmu, beliau telah terbang ke Amerika untuk mendapat Master in Business Administration dari Central Michigan University pada tahun 1987. Inilah usaha gigih yang dilakukan oleh beliau untuk mendapatkan ilmu pengetahuan untuk menyediakan diri bertarung dalam bidang keusahawanan yang penuh ranjau.


                Ilmu tanpa peribadi yang tinggi umpama lagu yang tidak berirama, ia harus seiring. Inilah resepi yang diterapkan dalam hidup Dato' Kamarudin bin Meranun. Beliau amat meminati bidang keusahawanan dan perniagaan. Beliau memastikan usaha yang berterusan bagi mencapai apa yang dihajatinya. Ciri-ciri yang ada pada beliau yang menjadikan beliau luar biasa adalah semangat kerja berpasukan. Ini dapat dilihat, kunci kejayaan Air Asia adalah kerana semangat berpasukan beliau dan Datuk Seri Anthony Fernandes, mereka saling melengkapi antara satu sama lain untuk membentuk Air Asia. Atas semangat inilah menjadikan Air Asia sebuah syarikat terkenal di peringkat global. Kerjasama beliau dan kakitangan Air Asia yang sama-sama memahami prinsip penjenamaan penerbangan tambang murah dan dihayati juga antara punca kejayaan.


                Dato' Kamarudin bin Meranun juga seorang yang amat merendah diri, ini selaras dengan prinsip hidup beliau iaitu mementingkan kekayaan spiritual. Beliau menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasi. Hidup sebagai satu amanah menjadi pedoman dalam menyelusuri bidang yang diceburi. Beliau juga seorang yang mudah mesra dengan lapisan masyarakat dan sedang diajak berbual walau apa topik sekali pun. Apa yang paling diingini oleh beliau adalah beliau mahu diingati sebagai seorang yang memberi impak positif kepada setiap individu yang ditemuinya.


                Pada peringkat awal karier Dato' Kamarudin bin Meranun, beliau bermula di Arab-Malaysia Merchant Bank sebagai pengurus portfolio pada tahun 1988 hingga 1993, beliau menguruskan dana pelaburan institusi dan juga individu. Pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Executive Director Innosabah Capital Management Sdn. Bhd  iaitu anak syarikat Innosabah Securities Sdn. Bhd. Dato' Kamarudin bin Meranun merupakan pengasas bersama Tune Group Sdn Bhd pada tahun 2001. Beliau dilantik sebagai Pengarah syarikat tersebut pada 12 Disember 2001. Kemudiannya, beliau telah dilantik kepada Group Deputy Chief Executive Officer pada 8 Disember 2005. Di atas kejayaan dan kecemerlangan beliau dalam menguruskan syarikat tersebut, pada 1 Julai 2012 beliau dilantik sebagai Non-Executive Director of Air Asia Berhad. Selain itu beliau juga merupakan Pengerusi bagi Employee Share Option Scheme Committee of the Board. Kerana pengalaman yang dimiliki oleh beliau, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Malaysia Airline System Bhd daripada Ogos 2011 hingga April 2012.  Selain daripada industri penerbangan, beliau juga Co-Chairman dalam Caterham Group iaitu syarikat yang terlibat dalam perlumbaan Formula 1. Bukan hanya perlumbaan kereta, malah bidang sukan yang paling diminati di mukabumi ini juga diceburi oleh beliau. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah kelab bolasepak Queens Park Rangers Football & Athletic Club Limited. Melihat kepada deretan jawatan yang dipegang oleh beliau, dapat digambarkan betapa berpengaruh beliau dalam industri yang diceburi.

                Banyak kejayaan yang telah ditempuhi oleh beliau. Sejak awal pembabitan karier beliau lagi. Bakatnya sejak awal lagi dikenalpasti dengan penerimaan anugerah "Best Actuarial Student"  oleh Life Insurance Institute of Malaysia pada tahun 1983. Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh beliau bukan dengan cara yang mudah. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh beliau tidak kira dari segi masa dan kewangan. Selayaknya beliau digelarkan antara taikun perniagaan dalam Malaysia malah luar negara. Pada masa kini, beliau pula menjadi sumber inspirasi para usahawan baru di Malaysia. Semoga lahir lebih ramai tokoh-tokoh usahawan seperti beliau bagi memakmurkan ekonomi bumi Malaysia.
close